29 Mei 2008

JAKIM @ selesaikanlah kekeliruan umat Islam dalam hal pemakanan halal


Sehingga hari ini, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna belum mengumumkan senarai nama syarikat yang menyelewengkan tanda halal mahupun menyediakan satu senarai syarikat-syarikat pengeluar makanan halal yang sah. Pada 23 Mac lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal, dilaporkan berkata syarikat-syarikat yang ditauliahkan sebagai halal akan disemak semula dan senarai yang disahkan akan dimuatkan ke dalam satu direktori. Berapa lama pula tempoh masa yang diperlukan untuk menyemak semula status halal syarikat-syarikat yang telah ditauliahkan halal dan disediakan dalam sebuah direktori? Sebuah akhbar tempatan sebelum ini mendedahkan cubaan mereka untuk mendapatkan senarai syarikat yang ditauliahkan halal daripada Jakim gagal. Apakah menjadi dasar Jakim untuk tidak memberikan senarai itu kepada umum atau apakah mungkin Jakim sememangnya tidak ada senarai itu? Sekurang-kurangnya Jakim harus mempunyai rekod syarikat-syarikat yang sudah ditauliahkan halal dan belum ditarik balik. Oleh itu, kita mendesak agar Jakim dan Kementerian Perdagangan bersikap lebih serius dalam menangani perkara ini dan mengambil tindakan segera secara menyeluruh untuk menjelaskan semua persoalan dan keraguan yang timbul. Kepada umat Islam, perkara makanan halal ini bukan satu isu remeh yang boleh dilengah-lengahkan. Rasa was-was akan terus wujud di kalangan pengguna Islam dan seterusnya memberi kesan negatif kepada para pengeluar produk makanan halal. Pengguna Islam mungkin menghadkan pembelian mereka bagi mengelakkan membeli produk yang mungkin menggunakan logo halal palsu dan pada masa yang sama, khabar angin akan terus tersebar mengenai jenama-jenama yang tidak halal dan memberi kesan buruk kepada syarikat-syarikat yang terfitnah. Kita juga berkongsi kebimbangan dengan Menteri Luar mengenai imej Malaysia yang tercalar di mata dunia (seperti dilaporkan oleh media massa pada 20 Mac lalu). Kegagalan mengatasi masalah ini dengan berkesan dan pantas akan mengagalkan usaha mempromosi Malaysia sebagai hub makanan halal dunia. Mungkin pihak berkuasa yang terlibat boleh belajar daripada tindakan pantas dan tegas pengurusan sebuah syarikat perabot antarabangsa di Damansara yang menggantung operasi restorannya pada hari yang sama laporan media mendedahkan bahawa kilang yang membekalkan sosej kepadanya diserbu. Seterusnya syarikat tersebut telah bertindak membatalkan kontrak dengan kilang terbabit, menyamak peralatan di restorannya dengan bantuan pihak berkuasa Islam dan membuat iklan mengenai tindakan-tindakannya itu. Langkah segera secara komprehensif sebegini adalah amat penting bagi mengelakkan kesangsian umat Islam.

Tiada ulasan: