05 Januari 2009

SAHABATKU @ MOHD REDZUAN (DARI SEORANG YANG SUSAH..KEPADA SEORANG YANG BERJAYA)



ARKIB : 09/05/2008 (UTUSAN MALAYSIA)
Daripada roti Melayu ke tauke roti Arab
Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

Sejak kebelakangan ini roti Arab mula menjadi kesukaan ramai. Ada yang gemar mencecah roti ini bersama kuah kari, dal, sambal atau mengikut cita rasa masing-masing. Roti yang hanya popular sejak dua tahun lalu, kini bukan sahaja menjalani perubahan demi perubahan dalam bentuk bahan, bahkan juga tempoh ketahanan.

Jika dahulu jangka hayatnya hanya tahan selama tiga hari dan bahannya hanya menggunakan tepung dan yis, tetapi kini ia telah diperbaiki supaya tahan lebih lama dan ditambah dengan fiber bagi memberi kebaikan khususnya kepada pesakit kencing manis, darah tinggi dan yang ingin mengamalkan diet.

Ini diakui oleh pemilik D'Home Bakery, Mohd. Rezuan Abdullah, 32, yang sering membuat pembangunan dan penyelidikan (R&D) ke atas roti Arab, produk utama bakerinya supaya ia berlainan dengan yang lain.

"Saya telah melakukan R&D selama setahun supaya roti ini tahan lebih lama. Alhamdulillah, usaha itu berjaya, produk roti keluaran saya boleh tahan sebulan jika diletak dalam suhu bilik dan jika disimpan dalam peti sejuk, ia boleh tahan selama setahun. Saya buat itu bagi membolehkan roti Arab mampu bersaing dengan roti yang lain.

"Pada permulaan diperkenalkan di Perlis dua tahun lalu, roti ini hanya boleh tahan tiga hari, tetapi apabila sampai ke Kuala Lumpur, jangka hayatnya hanya tinggal dua hari. Ini menyukarkan untuk terus menembusi pasaran.

"Dengan pengalaman saya dalam bidang kimia, tanpa putus asa saya telah melakukan ujian supaya roti ini tahan lama dan akhirnya membawa hasil yang membanggakan.

"Saya tidak meletakkan pengawet kimia, sebaliknya pengawet semula jadi yang saya cipta iaitu dengan cara stim bagi mengekalkan kelembapan roti selepas dibakar sekali gus memanjangkan jangka hayat roti," katanya ketika ditemui di bengkel rotinya di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Lulusan dalam sains tulen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, penglibatannya dalam pembuatan roti didorong oleh minat isterinya, Siti Murni Surya, 30.

"Siti Murni yang memberi idea untuk menceburi bidang ini, bahkan beliau telah pergi menghadiri kursus asas pembuatan roti anjuran Jabatan Pertanian. Kemudian saya pula pergi belajar membuat roti dengan mentor iaitu pemilik kilang roti di Tanjung Karang, Selangor, Jaafar Musa, bagi mendalami lagi ilmu dalam bidang itu.

"Dari situ, kami mula membuat roti sandwic, roti inti kelapa dan kacang yang dijual di sekitar kawasan perumahan dengan menaiki motor," kata bapa kepada empat orang anak yang berusia setahun setengah hingga lapan tahun ini.

Menurut Mohd. Rezuan, penglibatan dalam pembuatan roti Arab ini mempunyai cerita yang menarik.

"Roti Arab ciptaan saya ini dahulunya namanya roti Melayu. Jika dilihat dari segi bahan dan teksturnya, memang ada kelainan dengan roti Arab yang ada di pasaran.

" Bagaimanapun pada waktu itu, pelanggan menyatakan ia seperti roti Arab, maka saya pun tukar nama kepada yang ada sekarang bagi mempopularkan lagi produk yang sedang meningkat naik pada waktu itu.

"Maka hinggalah sekarang ia dikenali sebagai roti Arab, tetapi mempunyai keistimewaan kerana jangka hayat yang panjang iaitu sebulan dan diletakkan fiber sebagai salah satu bahan utama.

"Ini membolehkan roti Arab keluaran saya sesuai untuk mereka yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi yang ingin menggantikan nasi sebagai makanan ruji," jelasnya yang telah menceburi pelbagai bidang perniagaan sejak tujuh tahun lalu.

Bekas penganalisis makmal ini memberitahu, sebelum terlibat dalam bidang pembuatan roti ini, pelbagai perniagaan telah dilakukan seperti mengusahakan tadika, nurseri, memproses ikan pekasam dan membekal makanan laut. Tetapi semuanya tidak lama kerana banyak masalah yang timbul.

Justeru, apabila isterinya menyuarakan idea untuk membuat roti, beliau terus bersetuju kerana bidang ini membawa pulangan harian.

Walaupun waktu itu, hanya dibuat di dalam bilik kecil di tingkat bawah rumahnya, Mohd. Rezuan dan Siti Murni menggagahkan diri memulakan kerja-kerja membuat roti.

Melihat kepada permintaan yang memberangsangkan khususnya di kalangan penduduk di sekitar kawasan perumahan, perniagaan berpindah ke sebuah premis rumah kedai yang disewa.

Begitupun, disebabkan kos pembuatan yang meningkat, kerja-kerja membuat roti kembali ke rumah semula.

Kini, setiap hari, sebanyak 1,500 keping roti Arab disiapkan dengan dibantu oleh dua orang pekerja. Selain roti Arab, Mohd. Rezuan turut membuat roti John, roti inti, roti Bengali dan roti keras.

"Dalam sehari sebanyak tiga guni tepung seberat 25 kilogram setiap satu digunakan untuk membuat produk keluarannya. Semua kerja-kerja bermula dari pukul 7 pagi hingga 6 petang atau sehingga doh habis dibuat," ujarnya.

Kata Mohd. Rezuan, kini terdapat empat orang ejen yang membantu mengedarkan rotinya di sekitar Rawang, Tanjung Malim, Tanjung Karang dan Selayang.

Roti Arabnya boleh diperoleh di restoran-restoran dan pasar malam sekitar kawasan tersebut.

Beliau yang gemar melakukan R&D memberitahu, beliau kini sedang mencari pelabur yang ingin membeli hasil ciptaannya iaitu doh sejuk beku untuk roti burger.

"Saya telah membuat penyelidikan mengenainya enam bulan lalu. Dengan doh segera ini boleh menjimatkan kos roti burger sehingga 30 peratus.

"Doh sejuk beku ini hanya perlu dibakar dan diletakkan jenama sendiri. Selain menjimatkan waktu kerana tidak perlu mengadunkan, kos buruh dan waktu membuatnya boleh dikurangkan sekali gus mungkin menurunkan harganya.

"Bagi yang ingin membeli produk ciptaan saya ini dan menjadi pengedar roti Arab, boleh menghubungi di talian 012-9102824," jelasnya yang mempunyai impian untuk mempunyai kilang dan bakeri yang mampu bersaing dengan jenama roti yang sedia ada.


______________________________________________________

Dulu dia sikit punya susah..sampai mak aku hari-hari beli ikan kat dia untuk mengelakkan kerugian..nak makan pun takdak duit..last-last dah berjaya hang Bulat ..baguih la

Tiada ulasan: